LAPORAN LAPANGAN KAJIAN KE KUALA LUMPUR

MEMAHAMI DINAMIK PENDUDUK DI BANDARAYA KUALA LUMPUR  

HGM3033: GEOGRAFI PENDUDUK (A251) 

KUMPULAN: A 

DISEDIAKAN OLEH: 
 AVASSONIA DIANA
NUR FITYATI BINTI MUHAMMAD ROZI 
NUR SYAMILAH BINTI SAIFULAZMI 

1.0 Objektif

  1. Mengkaji isu kependudukan Malaysia, termasuk penurunan kadar kelahiran, peningkatan populasi warga emas dan kesannya terhadap kesihatan, ekonomi, dan pasaran buruh.

  2. Memupuk keupayaan pelajar bekerjasama dan berkomunikasi dengan komuniti melalui pengumpulan data dan analisis kajian lapangan.

  3. Menggalakkan semangat kerja berpasukan dalam merancang, melaksanakan, dan melaporkan kajian sambil memahami peranan komuniti dalam menangani cabaran kependudukan.

2.0 Dapatan Kajian di Jabatan Perangkaan Malaysia

Pada Khamis, 18 Disember 2025, pengkaji telah menjalankan lawatan lapangan ke Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi memenuhi kursus HGM3033 Geografi Penduduk. Lawatan ini bertujuan untuk memperkukuh sinergi antara institusi pendidikan tinggi dan agensi kerajaan serta memberi gambaran mengenai pengurusan data perangkaan di peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Perjalanan dari UPSI ke pejabat DOSM mengambil masa kira-kira 1 jam 30 minit. Suasana di pejabat ini sangat teratur dan profesional. Kawasan lobi pejabat luas dan selesa, memudahkan urusan pendaftaran para peserta lawatan.

Gambar 1: Pemandangan lobi Jabatan Perangkaan Malaysia WP

Program lawatan bermula pada 9.30 pagi dengan ketibaan peserta dan pendaftaran di bawah pengurusan urusetia. Pada 10.00 pagi, Pengarah DOSM WP, YBrs. Puan Siti Zakiah binti Muhamad Isa, memberikan ucapan aluan yang menekankan kepentingan data perangkaan dalam perancangan pembangunan bandar dan penyediaan dasar awam. Seterusnya, pada 10.15 pagi, wakil Pengarah Program Lawatan UPSI, Encik Muhamad Solehin bin Mahazan, menyampaikan ucapan aluan bagi pihak pelajar, menekankan tujuan lawatan untuk menambah pengetahuan dan pengalaman praktikal dalam pengurusan data penduduk.

Gambar 2: Sesi taklimat perkongsian proses pengumpulan, pemprosesan dan analisis data penduduk WP

Pada 10.45 pagi, sesi taklimat perkongsian dimulakan oleh Bahagian Perangkaan Penduduk dan Demografi (BPPD), dikendalikan oleh Puan Siti Badariah Ismi binti Che Berahim dan Puan Emi Sabrina binti Mohd Noor. Sesi ini menekankan proses pengumpulan, pemprosesan, dan analisis data penduduk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Para pelajar diberi penerangan mengenai bagaimana statistik penduduk dikumpul melalui kaji selidik, sensus, dan kaedah sampel, serta bagaimana data ini digunakan untuk membuat keputusan perancangan bandar dan dasar kerajaan.

Selepas itu, peserta menikmati minum pagi pada 10.30 pagi yang diuruskan oleh pihak urusetia. Suasana mesra ini membolehkan para pelajar berinteraksi sesama sendiri dan dengan pegawai DOSM. Seterusnya, pada 12.00 tengahari, peserta lawatan dibawa ke Seksyen Rangka dan Pemetaan, dikendalikan oleh Encik Nurul Izwan bin Ramali. Di sini, para pelajar dapat melihat secara langsung bagaimana data perangkaan dipaparkan dalam bentuk peta, termasuk penggunaan sistem maklumat geografi (GIS) untuk memudahkan visualisasi dan analisis data. Kawasan ini juga dilengkapi komputer dan perisian khas yang membolehkan pegawai DOSM menghasilkan laporan dan peta demografi secara cepat dan tepat.

Secara keseluruhan, lawatan ini memberi peluang kepada para pelajar UPSI untuk memahami secara praktikal proses pengurusan data perangkaan penduduk, dari pengumpulan hingga pemetaan. Suasana di DOSM WP sangat kondusif untuk pembelajaran dan interaksi, di samping menekankan kepentingan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi dan agensi kerajaan dalam pengurusan data dan statistik.

Gambar 3: Aktiviti lawatan di Seksyen Rangka dan Pemetaan

Di Seksyen Rangka dan Pemetaan, pengkaji diberi penerangan secara terperinci mengenai proses pembinaan peta demografi. Encik Nurul Izwan bin Ramali menerangkan bahawa setiap data penduduk yang dikumpul melalui sensus, kaji selidik atau pangkalan data kerajaan akan diproses terlebih dahulu sebelum dipindahkan ke sistem GIS (Geographic Information System). Sistem ini membolehkan data seperti bilangan penduduk, umur, jantina, etnik, dan taburan kawasan kediaman dipaparkan dalam bentuk peta tematik.

Para pelajar juga diperlihatkan bagaimana data digabungkan dengan peta geografi sebenar untuk menilai corak kependudukan, kepadatan, dan pergerakan penduduk. Contohnya, kawasan yang mempunyai kepadatan tinggi akan dipaparkan dengan warna yang lebih gelap manakala kawasan kurang penduduk diberi warna lebih cerah. Hal ini memudahkan pegawai untuk membuat analisis spatial dan merancang pembangunan kawasan, perkhidmatan awam, serta kemudahan asas.

Selain itu, pengkaji berpeluang mencuba sendiri sistem GIS di bawah bimbingan Encik Nurul Izwan. Mereka belajar bagaimana memilih lapisan peta (map layers), memasukkan data demografi, dan menghasilkan peta visualisasi yang boleh digunakan untuk laporan rasmi. Aktiviti ini membangkitkan rasa ingin tahu para pelajar dan memberikan pengalaman praktikal yang nyata tentang bagaimana statistik penduduk diterjemahkan ke dalam bentuk peta interaktif.

Suasana di seksyen ini amat kondusif. Ruang pejabat yang luas, dilengkapi komputer dan monitor besar membolehkan pelajar melihat data dengan jelas. Walaupun pejabat ini sibuk dengan pegawai yang sedang bekerja, mereka tetap mesra dan sedia membantu. Keceriaan dan semangat ingin tahu para pelajar dapat dilihat apabila mereka berdiskusi antara satu sama lain untuk memahami konsep peta dan pengurusan data secara lebih mendalam.

Melalui lawatan ini, pengkaji dapat melihat hubungan rapat antara data perangkaan dan pemetaan. Aktiviti ini menekankan bahawa pemetaan bukan sekadar lukisan geografi, tetapi satu proses saintifik yang memerlukan ketelitian, analisis data, dan pemahaman mendalam mengenai populasi. Para pelajar juga menyedari kepentingan teknologi GIS dalam membantu kerajaan merancang dasar yang berkesan dan menyediakan maklumat yang tepat untuk pembangunan sosial, ekonomi, dan perbandaran.

Gambar 4: Para pelajar UPSI mempelajari pemetaan GIS di Seksyen Rangka dan Pemetaan

3.0 Dapatan Kajian di Menara Kuala Lumpur

Bagi melengkapkan tugasan kursus HGM3033-Geografi Penduduk, kami telah menjalankan kajian lapangan di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur untuk memahami dinamik penduduk di kawasan ini. Antara lokasi kajian termasuklah di Menara Kuala Lumpur yang merupakan mercu tanda ikonik di Malaysia. Kajian ini dilaksanakan menggunakan pendekatan kualitatif melalui sesi temubual bersama beberapa penduduk sekitar Menara Kuala Lumpur. Tujuannya adalah untuk menilai dan mengetahui pandangan mereka terhadap isu penurunan kadar kelahiran di Malaysia. Temu bual ini melibatkan lima orang responden yang semuanya terdiri daripada wanita iaitu Maisarah (23 tahun), Suhaila (45 tahun), Hajar (41 tahun), Nur Faiza (34 tahun), dan Hanisah (52 tahun).

Berdasarkan analisis kajian, semua responden menyatakan kesepakatan bahawa kepadatan penduduk di kawasan Kuala Lumpur adalah tinggi. Perkara ini disebabkan pembangunan perumahan dan infrastruktur yang semakin pesat di kawasan tersebut. Kuala Lumpur yang dahulunya tidak terlalu padat telah mengalami transformasi ketara dengan adanya bangunan komersial dan penempatan baharu yang seterusnya menarik lebih ramai penduduk untuk tinggal berhampiran. Pada masa sama, peningkatan ini kerana berlaku perpindahan penduduk yang didorong oleh ketersediaan pekerjaan, kemudahan awam yang mudah dicapai dan juga peluang pendidikan. Namun, peningkatan penduduk dan pertambahan kenderaan bermotor yang tidak terkawal telah membawa kepada isu kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak dan cuti sekolah. Fenomena ini memang lazim berlaku khususnya di kawasan bandar yang menjadi pusat aktiviti ekonomi, sosial dan politik (Ery & Diana, 2025).

Selain itu, dapatan kajian mendapati bahawa golongan dewasa dan belia merupakan majoriti penduduk di Kuala Lumpur. Hal ini kerana kebanyakan daripada mereka bekerja dalam pelbagai sektor yang berbeza. Menurut Junaidi et al. (2014), Kuala Lumpur berperanan sebagai bandar raya utama yang menjadi tumpuan perniagaan dan perdagangan. Bandar ini menempatkan ibu pejabat syarikat nasional dan multinasional, menyediakan perkhidmatan kewangan, runcit dan pendidikan serta menjadi pusat pembuatan berteknologi tinggi. Kawasan ini telah menyediakan banyak peluang pekerjaan kerana kedudukannya yang strategik di pusat bandar. Bukan itu sahaja, bilangan penduduk turut meningkat berikutan pertambahan pekerja asing dari Bangladesh dan Pakistan yang bekerja dan menetap di kawasan tersebut. Keadaan ini berkemungkinan mewujudkan persaingan sengit antara penduduk tempatan dari segi permintaan tenaga kerja, barangan, perumahan dan kemudahan pengangkutan awam.

Faktor Kadar Kelahiran Rendah

Seterusnya, analisis kajian mendedahkan bahawa terdapat trend penurunan bilangan anak yang jelas. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar kelahiran mencatatkan penurunan kepada 93,500 kelahiran hidup pada tahun 2025 berbanding 105,613 kelahiran pada tahun 2024. Perkara ini juga diperakui oleh responden bahawa keluarga di bandar kebiasaannya hanya memiliki jumlah anak sekitar dua hingga tiga orang. Perkara ini berbeza dengan generasi terdahulu yang mempunyai anak yang ramai iaitu tujuh orang dan ke atas.

Penurunan bilangan anak ini disebabkan beberapa faktor dengan faktor utama adalah kos sara hidup yang tinggi. Perkara ini berpunca daripada harga sewa rumah, makanan dan keperluan anak yang jauh lebih tinggi di bandar berbanding luar bandar. Terdapat juga pasangan baru berkahwin yang belum bersedia untuk menambah anak kerana menunggu masa yang sesuai sehingga keadaan kewangan stabil. Amalan ini mengurangkan peluang wanita untuk hamil memandangkan usia yang lewat menyebabkan tahap kesuburan tidak lagi optimum (Aisyah & Rahimah, 2025). Selain itu, faktor tuntutan kerja juga menyebabkan pasangan memilih untuk memiliki keluarga yang kecil. Kesibukan kerja menyukarkan pasangan untuk menguruskan dan meluangkan masa bersama anak dengan sebaiknya.

Kesan Kadar Kelahiran Rendah

Analisis kajian seterusnya meninjau pandangan responden terhadap konsep childfree di Malaysia. Istilah childfree bermaksud keputusan individu atau pasangan untuk tidak memiliki anak sepanjang hidup mereka. Bagi generasi milenial dan Gen Z, anak dilihat sebagai komitmen besar yang sukar diseimbangkan dengan tekanan kerja dan tuntutan kehidupan peribadi. Dalam hal ini, semua responden menegaskan penolakan mereka terhadap konsep childfree dan membantah sepenuhnya.

Hal ini kerana, kelahiran yang rendah berisiko menyebabkan Malaysia bertukar status kepada negara tua. Dapatan kajian menunjukkan bahawa kelahiran anak merupakan perkara penting dalam sesebuah perkahwinan. Mereka menyedari bahawa dengan kelahiran yang tinggi dapat menyumbang kepada kesejahteraan negara. Tambahan pula, Malaysia memerlukan orang muda untuk mengekalkan keseimbangan populasi penduduk. Golongan muda yang dilahirkan ini juga dianggap berpotensi untuk membangunkan ekonomi negara dengan lebih maju dan berdaya saing.

Berdasarkan analisis, kepadatan penduduk yang tinggi, pemodenan pesat dan perkembangan ekonomi yang rancak menyebabkan peningkatan kos sara hidup terutama pada era globalisasi kini. Tambahan pula, pendidikan kini boleh diakses dengan mudah di mana-mana, justeru individu cenderung untuk menunda atau mengurangkan bilangan anak untuk kualiti hidup yang baik, termasuk menumpukan perhatian kepada kerjaya dan pendidikan (Abdul Hadi, Husnul Khotimah & Sadari, 2022). Hal ini memberi impak terhadap kadar pertumbuhan penduduk di mana kadar kesuburan individu semakin menurun disebabkan faktor usia dan seterusnya memberi kesan kepada kadar pertumbuhan penduduk yang perlahan (Silvia Yolanda, Arni Amir & Andani Eka Putra, 2021).

Namun, dalam jangka masa panjang, pengurangan bilangan anak tanpa pelapis generasi akan memberi kesan kepada penurunan populasi dan pembentukan negara. Oleh itu, pengamalan childfree dalam jangka panjang boleh membawa kepada kepupusan populasi, peningkatan migrasi tenaga kerja, kemerosotan ekonomi akibat kekurangan pekerja, serta kehilangan budaya tempatan akibat interaksi sosial yang berkurang (Nor Malita Sari & Rini Fidiyani, 2025).

Langkah Mengatasi Masalah Pengamalan Childfree

Antara langkah yang boleh diambil bagi memastikan pertumbuhan populasi yang stabil ialah kerajaan menyediakan infrastruktur dan kemudahan sokongan terhadap kelahiran, termasuk klinik ibu dan anak, pusat jagaan harian dan kemudahan komuniti seperti taman permainan dan pusat rekreasi (Siti Hawa et al., 2025). Selain itu, kerajaan juga boleh menyediakan cuti bersalin yang lebih panjang, kemudahan pendidikan awal yang berkualiti dan sokongan perkhidmatan kesihatan yang mudah diakses (Pebriani, 2024). NGO dan komuniti setempat boleh membantu melalui program kesedaran, latihan keibubapaan serta promosi gaya hidup seimbang. Pendidikan pengurusan kewangan dan penyediaan perumahan mesra keluarga juga mampu mengurangkan tekanan hidup pasangan muda (Mahmudin Bunyamin et al., 2025).

4.0 Kesimpulan

Secara keseluruhan, isu kependudukan Malaysia termasuk penurunan kadar kelahiran, peningkatan populasi warga emas dan kesannya terhadap kesihatan, ekonomi dan pasaran buruh telah berjaya dikaji. Gaya kehidupan penduduk di Kuala Lumpur didapati mempengaruhi kadar kelahiran dan seterusnya pertumbuhan penduduk. Isu ini turut berkait rapat dengan pengamalan trend childfree khususnya di kawasan bandar yang berkembang pesat. Faktor, kesan serta langkah mengatasi pengamalan childfree telah dibincangkan berdasarkan analisis kajian kualitatif yang dijalankan.

5.0 Rujukan

Abdul Hadi, Husnul Khotimah & Sadari. (2022). Childfree Dan Childless Ditinjau Dalam Ilmu Fiqih Dan Perspektif Pendidikan Islam. JOEL: Journal of Educational and Language Research, 1(6), 647–652.

Aisyah Abdullah Zaik, & Rahimah Jurij. (2025). Krisis Kelahiran Nasional: Antara Peralihan Peranan Wanita dari Pembinaan Generasi Masa Hadapan kepada Tenaga Kerja Negara. International Journal of Interdisciplinary and Strategic Studies, 6(11), 702–715.

Amran Hassan, Fatimah Yusooff & Khadijah Alavi. (2012). Keluarga sihat melahirkan komuniti sejahtera: Satu ulasan. Geografia Malaysian Journal of Society and Space, 8(5), 51–63.

Ery Sugito, & Diana Mohamad. (2025). The Impact of Urban Traffic Density on The Service Quality and Performance of Public Bus Transport. Progress in Energy and Environment, 31(2), 67–78.

Junaidi Awang Besar et al. (2014). Kuala Lumpur dan cabaran baru pembangunan berterusan. Geografia Malaysian Journal of Society and Space, 10(6), 75–85.

Mahmudin Bunyamin et al. (2025). Analisis Perkahwinan Gaya Hidup Tanpa Anak (Childfree). International Journal for Studies on Children, Women, Elderly and Disabled, 24, 74–84.

Pebriani. (2024). Maintenance Rights for Career Women According to Fiqh Four Mazhabs. Jurnal Perbandingan Mazhab dan Hukum, 13(1).

Silvia Yolanda, Arni Amir & Andani Eka Putra. (2021). Hubungan Umur dan Pendidikan dengan Kejadian Infertilitas. JIDAN: Jurnal Ilmiah Bidan, 5(1), 35–39.

Siti Hawa Radin Eksan et al. (2025). Analisis Perkahwinan Gaya Hidup Tanpa Anak (Childfree). International Journal for Studies on Children, Women, Elderly and Disabled, 24, 74–84.


Virus-free.www.avast.com

Comments

Popular posts from this blog

GEOGRAFI PENDUDUK: KELAHIRAN

BLOG KAJIAN LAPANGAN KE KUALA LUMPUR