Blog Laporan Kajian Lapangan HGM3033 Geografi Penduduk Ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
PERJALANAN KAJIAN LAPANGAN HGM3033 GEOGRAFI PENDUDUK A251 KE KUALA LUMPUR
Disediakan oleh :
Ahmad Tarmizi bin Rajalih
D20231106493
Kajian lapangan ini dilaksanakan bagi memenuhi keperluan kursus HGM3033: Geografi Penduduk yang melibatkan pelajar kelas A dan B. Lawatan akademik ini bertujuan memberikan pendedahan secara langsung kepada pelajar tentang peranan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebagai agensi rasmi negara dalam pengurusan dan penyediaan data kependudukan. Melalui lawatan ini, pelajar didedahkan kepada aplikasi sebenar konsep geografi penduduk yang dipelajari secara teori, khususnya berkaitan indikator demografi, sistem pengumpulan data serta penggunaannya dalam perancangan dan pembangunan negara.
Rombongan kajian lapangan yang terdiri daripada 26 orang pelajar bersama Dr. Kamarul telah berkumpul di Kafe KHAR seawal jam 7.30 pagi sebelum bertolak ke Kuala Lumpur pada jam 8.00 pagi dengan sebuah bas. Setelah tiba di kawasan Chow Kit, rombongan meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki ke Wisma FGV, Jalan Raja Laut, iaitu lokasi Jabatan Perangkaan Malaysia Wilayah Persekutuan. DOSM Wilayah Persekutuan bertanggungjawab menguruskan data bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, yang merupakan kawasan berpopulasi tinggi serta mempunyai dinamika kependudukan yang kompleks dari segi taburan, kepadatan dan pergerakan penduduk.
Setibanya di DOSM, rombongan disambut oleh pegawai-pegawai bertugas dan dibawa ke Aras 14 untuk sesi taklimat rasmi. Sesi ini dikendalikan oleh Encik Ag. Muhammad Izzuddin bin Ag. Limon selaku moderator, manakala ucapan alu-aluan disampaikan oleh Puan Siti Zakiah binti Muhamad Isa, Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Wilayah Persekutuan. Dalam ucapannya, Puan Pengarah menekankan peranan DOSM sebagai sumber statistik rasmi negara yang menyokong pembuatan dasar, perancangan pembangunan dan penyelidikan akademik, serta kepentingan kerjasama berterusan antara institusi pengajian tinggi dan agensi kerajaan.
Sesi taklimat seterusnya memberi pengenalan kepada struktur asas pengurusan perangkaan di Malaysia, termasuk fungsi DOSM di peringkat persekutuan dan negeri. Pelajar turut diperkenalkan kepada jenis-jenis data kependudukan yang dikendalikan oleh DOSM, merangkumi data banci, anggaran penduduk, serta statistik vital. Penekanan turut diberikan kepada indikator demografi utama seperti kadar kelahiran, kadar kematian dan migrasi yang sering digunakan dalam analisis perubahan dan dinamika penduduk.
Selain itu, pihak DOSM turut menunjukkan bentuk paparan data dan visualisasi statistik yang digunakan dalam pelaporan rasmi, termasuk jadual, graf dan peta tematik. Paparan ini membantu pelajar memahami bagaimana data mentah diterjemahkan kepada maklumat yang lebih bermakna untuk tujuan analisis taburan penduduk, perbandingan antara wilayah serta pemerhatian perubahan penduduk mengikut ruang dan masa.
Pendedahan awal ini memberikan gambaran menyeluruh kepada pelajar tentang aliran kerja pengurusan data kependudukan, bermula daripada proses pengumpulan, pengesahan, pemprosesan sehinggalah kepada penyampaian data kepada pengguna. Kefahaman ini diperkukuh melalui penerangan berkaitan penggunaan sistem sokongan dan teknologi maklumat, khususnya aplikasi Sistem Maklumat Geografi (GIS), yang memainkan peranan penting dalam pemetaan penduduk, penentuan kawasan bancian dan analisis spatial.
Selepas sesi taklimat, lawatan diteruskan dengan sesi Office Tour yang membolehkan pelajar melihat secara langsung operasi dan persekitaran kerja di Jabatan Perangkaan Malaysia. Melalui sesi ini, pelajar berpeluang memerhati pelaksanaan proses teknikal yang menyokong pengurusan data kependudukan serta mengaitkan maklumat yang diterima semasa sesi taklimat dengan amalan sebenar di peringkat jabatan.
SESI LAWATAN KE JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR
Disediakan oleh :
Whitney Rifain
D20231108044
Berdasarkan taklimat yang diberikan, sesi taklimat dimulakan dengan pengenalan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Apakah fungsi dan peranan sebagai jabatan yang penting di Malaysia? Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berfungsi sebagai agensi utama kerajaan yang bertanggungjawab dalam mengumpul, memproses,menganalisis, dan menyebarkan perangkaan rasmi negara. DOSM turut menyediakan data statistik yang merangkumi pelbagai bidang seperti demografi, sosial, ekonomi, perindustrian, perdagangan dan tenaga buruh bagi menyokong perancangan, pelaksanaan serta penilaian dasar pembangunan negara.
Gambar 7 : Sesi Taklimat yang dijalankan oleh pihak DOSM Wilayah Persekutuan
Seterusnya, taklimat diteruskan tentang pengenalan umum tentang "Apa itu demografi?" Demografi merupakan kajian statistik atau matematik yang berkaitan dengan saiz, komposisi dan taburan penduduk serta perubahan yang berlaku akibat faktor kelahiran, kematian dan migrasi. Terdapat dua takrifan yang diterangkan iaitu takrifan formal yang meliputi saiz, komposisi dan perubahan manakala takrifan lebih luas yang meliputi ciri etnik, ciri sosial dan ciri ekonomi.
Pihak DOSM menyusun perangkaan penting melalui pembekal data daripada pelbagai jabatan. Jabatan yang berperanan sebagai pembekal data bagi aspek kelahiran hidup dan kematian ialah Jabatan Pendaftaran (JPN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Seterusnya, jabatan yang membekalkan data bagi penceraian, pembatalan, pemisahan kehakiman ialah Jabatan Agama Persekutuan dan Negeri, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Mahkamah Anak Negeri Sabah dan Majlis Adat Istiadat Sarawak. Akhir sekali, jabatan yang membekalkan data bagi pengambilan anak angkat, legitimasi dan pengiktirafan ialah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Setiap jabatan ini memainkan peranan amat penting dalam memastikan pengumpulan data demografi negara dilaksanakan.
Dalam sesi taklimat ini, juga diterangkan secara umum jadual, graf dan peta yang digunakan untuk memaparkan data secara tersusun dan terperinci. Antara maklumat yang dibentangkan dalam bentuk graf dan jadual ini ialah data Bilangan Perkahwinan dan Kadar Kasar Perkahwinan (CMR) Malaysia, 2018-2024, Perubahan Struktur Umur Penduduk Malaysia, Komponen Perubahan Penduduk, Ketidaksamarataan Pendapatan, Malaysia 2024, Statistik Kemiskinan di Malaysia 2024 dan sebagainya. Penyampaian data melalui kaedah visual ini membantu meningkatkan kefahaman terhadap tren dan corak perubahan demografi serta sosioekonomi negara lebih jelas dan berkesan.
Gambar 8 : Penerangan Aplikasi Maklumat Geografi (GIS)
Selain itu juga, kami telah melaksanakan lawatan di bahagian pejabat DOSM. Semasa lawatan tersebut, kami berkesempatan mendengar taklimat ringkas berkaitan Aplikasi Maklumat Geografi (Geographic Information System, GIS). GIS ini merupakan sistem perkomputeran yang digunakan untuk mengumpul, menyimpan, mengurus, menganalisis dan memaparkan data yang mempunyai rujukan geografi atau lokasi. GIS membolehkan data statistik digabungkan dengan elemen spatial seperti peta, koordinat dan sempadan kawasan bagi menghasilkan gambaran visual yang lebih jelas. Dalam konteks demografi dan perangkaan, GIS digunakan untuk memaparkan taburan penduduk, kepadatan penduduk, struktur umur, kadar kemiskinan dan tahap pendapatan. Manakala dalam perancangan dan pembuatan dasar, GIS berperanan untuk menganalisis maklumat dengan membantu kerajaan merancang pembangunan bandar, luar bandar, penyediaan kemudahan awam dan sebagainya.
Sebelum meninggalkan Jabatan Perangkaan Malaysia Wilayah Persekutuan, rombongan kajian lapangan tidak lupa untuk mengabadikan kenang-kenangan bersama staf dan juga Pengarah Cawangan di reruai yang ada di pejabat ini.
Gambar 9 : Foto Kenang-Kenangan Bersama Rombongan Kajian Lapangan di Reruai Bergambar
LAWATAN KE MENARA KUALA LUMPUR
Disediakan oleh :
Dessy Magdalene Beddy
D20231108063
Pejalanan kajian lapangan pelajar HGM3033: Geografi Penduduk diteruskan lagi ke Menara Kuala Lumpur atau lebih dikenali sebagai KL Tower, yang merupakan salah satu simbol kemajuan dan kebanggaan bagi negara Malaysia. Menara tersebut terletak di Bukit Nanas, di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur, dan mempunyai kedudukan yang strategik yang menjadikannya antara struktur menara yang paling menonjol di bandar Kuala Lumpur. Menara Kuala Lumpur ini juga merupakan sebuah menara komunikasi dengan ketinggiannya ialah 421 meter dan telah diiktiraf sebagai menara telekomunikasi yang teritinggi di dunia. Seterusnya, fungi menara Kuala Lumpur ini termasuklah sebagai lokasi cerap rasmi untuk mencerap anak bulan bagi menentukan permulaan bulan Qamari seperti Ramadan dan Syawal di Malaysia. Menara ini dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-4, Tun Dr.Mahathir Mohamad pada 1 Oktober 1996 dan seterusnya dibuka secara rasmi sebagai tempat pelancongan kepada orang ramai.
Gambar 10 : Sesi bergambar bersama pensyarah kursus HGM3033 di hadapan Menara Kuala Lumpur
Ketibaan rombongan pelajar kursus HGM3033 di Menara Kuala Lumpur adalah pada sekitar jam 1.15 petang. Sebaik sahaja tiba di menara tersebut, para pelajar bergerak ke kaunter pendaftaran bagi membuat urusan pembelian tiket untuk naik ke tingkat atas menara. Suasana pada ketika itu dipenuhi dengan perasaan teruja oleh para pelajar kursus HGM3033, kerana menyedari ketinggian struktur menara tersebut adalah sangat tinggi. Setelah urusan pembayaran tiket selesai diuruskan oleh bendahari, satu taklimat ringkas telah dibuat oleh ketua kajian lapangan sebelum para pelajar bergerak secara berkumpulan untuk menaiki lif ke aras pemerhatian.
Gambar 11 : Taklimat ringkas daripada Pengarah Program Kajian Lapangan
Pada jam 1.50 petang, semua pelajar kursus HGM3033 telah berada di bahagian aras paling atas di menara Kuala Lumpur. Peluang ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelajar untuk menikmati pemandangan bandar Kuala Lumpur secara menyeluruh melalui 360 darjah yang ada di SkyDeck. Pemandangan melalui menara Kuala Lumpur memperlihatkan susun atur bandar, aliran trafik serta kepadatan pembangunan di kawasan sekitar bandar Kuala Lumpur. Para pelajar juga mengambil kesempatan untuk mengadakan sesi bergambar agar dapat dijadikan dokumentasi dan kenangan lawatan kajian lapangan. Selepas itu, para pelajar meneruskan lawatan di menara Kl dengan pergi ke aras Observatory Deck. Aras ini merupakan aras yang tertutup yang dilengkapi dengan pendingin hawa serta kemudahan teropong untuk melihat pemandangan dengan jarak yang lebih dekat. Teropong ini membolehkan para pelajar membuat pemerhatian secara lebih terperinci terhadap persekitaran fizikal dan aktiviti manusia di sekitar bandar Kuala Lumpur.
Gambar 12 : Pemandangan daripada SkyDeck
Gambar 13 : Sesi bergambar bersama ahli kumpulan
Pada sekitar jam 2.15 petang, aktiviti pengumpulan data lapangan telah dijalankan melalui sesi temu bual ringkas bersama responden. Objektif utama pengumpulan data temu bual ini adalah untuk mendapatkan pandangan masyarakat umum berkaitan aspek Geografi Penduduk, khususnya yang melibatkan isu kelahiran, kematian dan perubahan struktur penduduk. Kaedah yang telah kami gunakan ialah temu bual spontan secara "ask and go", dengan tempoh masa sekitar lima hingga tujuh minit bagi setiap responden. Seramai lima orang responden telah dipilih secara rawak, terdiri daripada pelancong tempatan, pekerja di premis perniagaan dan pelancong antarabangsa.
Gambar 13 : Sesi temu bual bersama pelancong tempatan
DAPATAN TEMU BUAL RESPONDEN DI MENARA KUALA LUMPUR BERKAITAN KEPENDUDUKAN
Disediakan oleh :
Lailatun Najwa binti Hurubalang
D20231108048
Saya dan ahli kumpulan telah menjalankan temubual separa berstruktur kepada 5 orang responden yang terdapat di KL Tower. Responden tersebut terdiri daripada pekerja kedai runcit, pelancong tempatan dan pelancong antarabangsa yang berbeza jantina. Berikut merupakan gambar temu bual beserta transkrip perbualan mengenai soalan yang berkaitan isu dan cabaran kependudukan selaras dengan kursus ini iaitu Geografi Penduduk.
(Responden 1: Pekerja Kedai)
RESPONDEN 1
Bahagian A: Demografi
Umur: 28 Tahun
Tempat tinggal: Kuala Lumpur
Status: Bujang
Pekerjaan: Pekerja kedai runcit
Bilangan tanggungan: Tiada
Bahagian B: Isu dan Cabaran Kependudukan
Soalan 1: Pada pandangan anda, apakah faktor utama yang menyebabkan pasangan hari ini kurang mempunyai anak?
Jawapan: Faktor utama ialah kos sara hidup yang tinggi seperti harga barang keperluan, sewa rumah dan kos pendidikan anak.
Soalan 2: Bagaimana pengalaman hidup dan keadaan semasa mempengaruhi perancangan keluarga anda?
Jawapan: Keadaan kewangan yang tidak stabil membuatkan saya dan pasangan merancang untuk memiliki anak secara berhati-hati.
Soalan 3: Bolehkah kongsikan cabaran utama yang dihadapi oleh pasangan yang ingin mempunyai anak pada masa kini?
Jawapan: Kos perubatan, penjagaan anak dan kekangan masa bekerja.
Soalan 4: Bagaimanakah faktor kewangan mempengaruhi keputusan berkaitan bilangan anak?
Jawapan: Jika kewangan kukuh barulah yakin untuk menambah anak.
Soalan 5: Bagaimanakah tuntutan kerja dan gaya hidup hari ini memberi kesan kepada kehidupan berkeluarga?
Jawapan: Waktu kerja panjang menyebabkan kurang masa bersama keluarga.
Soalan 6: Pada pandangan anda, bagaimanakah perubahan nilai cara hidup masyarakat mempengaruhi kadar kelahiran?
Jawapan: Ramai pasangan lebih mementingkan kestabilan hidup dan kerjaya.
Soalan 7: Bagaimanakah sokongan daripada keluarga atau komuniti mempengaruhi keputusan mempunyai anak?
Jawapan: Sokongan keluarga sangat membantu terutama dari segi penjagaan anak.
Bahagian C:
Soalan : Pada pandangan anda apakah kesan penurunan kadar kelahiran yang berterusan dari aspek ekonomi, peluang pekerjaan dan negara?
Jawapan: Penurunan kelahiran boleh menyebabkan kekurangan tenaga kerja pada masa depan.
Bahagian D:
Soalan: Pada pandangan anda, apakah cadangan yang akan diambil bagi mengelakkan masalah kependudukan ( penurunan kelahiran ) berlaku?
Jawapan: Kerajaan perlu memberi insentif kewangan dan bantuan penjagaan anak.
Secara keseluruhannya, responden ini berpendapat bahawa faktor ekonomi, khususnya kos sara hidup dan ketidakstabilan kewangan merupakan punca utama penurunan kadar kelahiran. Selain itu, tuntutan kerja yang tinggi serta kekangan masa turut memberi kesan terhadap perancangan keluarga. Responden menegaskan bahawa sokongan keluarga dan bantuan kerajaan amat penting bagi membantu pasangan merancang dan membesarkan keluarga dengan lebih terjamin.
(Responden 2 & 3: Pelancong Tempatan Wanita Berkahwin)
RESPONDEN 2
Bahagian A: Demografi
Umur: 37 Tahun
Tempat tinggal: Johor Bahru, Johor
Status: Berkahwin
Pekerjaan: Jururawat Swasta
Bilangan tanggungan: 3 orang
Bahagian B: Isu dan Cabaran Kependudukan
Soalan 1: Pada pandangan anda, apakah faktor utama yang menyebabkan pasangan hari ini kurang mempunyai anak?
Jawapan: Tekanan kerjaya dan kos membesarkan anak yang tinggi
Soalan 2: Bagaimana pengalaman hidup dan keadaan semasa mempengaruhi perancangan keluarga anda?
Jawapan: Kami ingin mencapai kestabilan kerjaya dahulu sebelum mempunyai anak dan kekangan masa kerja menyukarkan kami untuk bersedia mengorbankan masa untuk penjagaan anak.
Soalan 3: Bolehkah kongsikan cabaran utama yang dihadapi oleh pasangan yang ingin mempeunyai anak pada masa kini?
Jawapan: Keseimbangan kerja dan kehidupan keluarga.
Soalan 4: Bagaimanakah faktor kewangan mempengaruhi keputusan berkaitan bilangan anak?
Jawapan: Sangat penting kerana kami ingin memastikan masa depan anak terjamin dan memastikan keperluan mereka adalah lengkap.
Soalan 5: Bagaimanakah tuntutan kerja dan gaya hidup hari ini memberi kesan kepada kehidupan berkeluarga?
Jawapan: Gaya hidup bandar menyebabkan kurang masa dan tenaga untuk mengurus anak. Selain itu, kos gaya hidup juga mempengaruhi kos perbelanjaan sama ada kehendak atau keperluan.
Soalan 6: Pada pandangan anda, bagaimanakah perubahan nilai cara hidup masyarakat mempengaruhi kadar kelahiran?
Jawapan: Ramai wanita kini fokus kepada pembangunan diri dan kerjaya.
Soalan 7: Bagaimanakah sokongan daripada keluarga atau komuniti mempengaruhi keputusan mempunyai anak?
Jawapan: Sokongan ada, tetapi keputusan tetap dibuat bersama pasangan.
Bahagian C:
Soalan : Pada pandangan anda apakah kesan penurunan kadar kelahiran yang berterusan dari aspek ekonomi, peluang pekerjaan dan negara?
Jawapan: Negara mungkin berdepan isu penuaan penduduk.
Bahagan D:
Soalan: Pada pandangan anda, apakah cadangan yang akan diambil bagi mengelakkan masalah kependudukan ( penurunan kelahiran ) berlaku?
Jawapan: Polisi kerja fleksibel untuk ibu bapa perlu diperluaskan.
Responden ini melihat penurunan kadar kelahiran sebagai kesan langsung daripada tekanan kerjaya dan perubahan gaya hidup moden, terutamanya dalam kalangan pasangan bandar. Keutamaan terhadap kestabilan kerjaya dan kualiti hidup menyebabkan keputusan untuk menangguhkan kelahiran anak. Oleh itu, responden mencadangkan pelaksanaan dasar kerja yang lebih fleksibel sebagai langkah untuk menggalakkan keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan berkeluarga.
RESPONDEN 3
Bahagian A: Demografi
Umur: 42 Tahun
Tempat tinggal: Alor Gajah, Melaka
Status: Berkahwin
Pekerjaan: Guru
Bilangan tanggungan: 2 orang anak
Bahagian B: Isu dan Cabaran Kependudukan
Soalan 1: Pada pandangan anda, apakah faktor utama yang menyebabkan pasangan hari ini kurang mempunyai anak?
Jawapan: Kos pendidikan dan keperluan anak yang semakin mahal.
Soalan 2: Bagaimana pengalaman hidup dan keadaan semasa mempengaruhi perancangan keluarga anda?
Jawapan: Pengalaman menjaga anak membuatkan saya sedar tanggungjawab sangat besar khususnya saya sebagai seorang guru perlu membahagikan masa kerja dan masa dengan anak-anak di rumah untuk memberikan perhatian yang sewajarnya. Keadaan kekangan masa ini menjadi salah satu faktor untuk saya membuat perancangan keluarga dengan berhati-hati.
Soalan 3: Bolehkah kongsikan cabaran utama yang dihadapi oleh pasangan yang ingin mempunyai anak pada masa kini?
Jawapan: Mengurus masa antara kerja dan keluarga.
Soalan 4: Bagaimanakah faktor kewangan mempengaruhi keputusan berkaitan bilangan anak?
Jawapan: sebagai ibu bapa, kami perlu meneliti dan membuat pertimbangan berkaitan kestabilan ekonomi kami bagi memastikan perancangan untuk menetapkan bilangan anak adalah teratur.
Soalan 5: Bagaimanakah tuntutan kerja dan gaya hidup hari ini memberi kesan kepada kehidupan berkeluarga?
Jawapan: Kerja guru agak mencabar dan memerlukan komitmen tinggi jadi saya perlu bijak dalam membahagikan masa bersama keluarga, kerja dan diri sendiri.
Soalan 6: Pada pandangan anda, bagaimanakah perubahan nilai cara hidup masyarakat mempengaruhi kadar kelahiran?
Jawapan: keadaan perubahan nilai dan cara hidup yang semakin moden selari dengan arus trend semasa banyak mempengaruhi kos hidup sehingga ia menjadi salah satu faktor halangan dan cabaran dalam meningkatkan kelahiran
Soalan 7: Bagaimanakah sokongan daripada keluarga atau komuniti mempengaruhi keputusan mempunyai anak?
Jawapan: Sangat membantu terutama daripada ibu bapa yang ringan tulang untuk membantu menjaga anak-anak ketika saya bekerja.
Bahagian C:
Soalan : Pada pandangan anda apakah kesan penurunan kadar kelahiran yang berterusan dari aspek ekonomi, peluang pekerjaan dan negara?
Jawapan: Kekurangan tenaga kerja muda boleh menjejaskan ekonomi.
Bahagian D:
Soalan: Pada pandangan anda, apakah cadangan yang akan diambil bagi mengelakkan masalah kependudukan ( penurunan kelahiran ) berlaku?
Jawapan: Subsidi pendidikan dan penjagaan anak perlu ditambah.
Berdasarkan pandangan responden ini, pengalaman mengurus keluarga dan anak-anak telah meningkatkan kesedaran terhadap besarnya tanggungjawab sebagai ibu bapa. Faktor kewangan, kos pendidikan dan pengurusan masa antara kerjaya dan keluarga dikenal pasti sebagai cabaran utama. Responden berpendapat bahawa sokongan keluarga dan bantuan kerajaan, khususnya dalam bidang pendidikan dan penjagaan anak, mampu mengurangkan tekanan ke atas ibu bapa.
(Responden 4 dan 5: Pelancong Antarabangsa Lelaki Bujang dan Lelaki Berkeluarga )
RESPONDEN 4
Bahagian A: Demografi
Umur: 26 Tahun
Tempat tinggal: Jepun
Status: Bujang
Pekerjaan: Pelajar
Bilangan tanggungan: Tiada
Bahagian B: Isu dan Cabaran Kependudukan
Soalan 1: Pada pandangan anda, apakah faktor utama yang menyebabkan pasangan hari ini kurang mempunyai anak?
Jawapan: Masalah kewangan dan ketidakpastian masa depan.
Soalan 2: Bagaimana pengalaman hidup dan keadaan semasa mempengaruhi perancangan keluarga anda?
Jawapan: saya daripada keluarga yang sederhana dan berdasarkan pengalaman hidup saya melihat ibu bapa saya bekerja keras untuk memenuhi keperluan saya. Saya akan memastikan diri saya bersedia dari segi kestabilan kewangan dan mental.
Soalan 3: Bolehkah kongsikan cabaran utama yang dihadapi oleh pasangan yang ingin mempunyai anak pada masa kini?
Jawapan: Sukar mendapat pekerjaan stabil dan pendapatan mencukupi bagi memastikan kestabilan kewangan mereka.
Soalan 4: Bagaimanakah faktor kewangan mempengaruhi keputusan berkaitan bilangan anak?
Jawapan: Sangat mempengaruhi kerana anak memerlukan kos besar.
Soalan 5: Bagaimanakah tuntutan kerja dan gaya hidup hari ini memberi kesan kepada kehidupan berkeluarga?
Jawapan: Gaya hidup bebas membuatkan ramai tangguh perkahwinan.
Soalan 6: Pada pandangan anda, bagaimanakah perubahan nilai cara hidup masyarakat mempengaruhi kadar kelahiran?
Jawapan: Keutamaan hidup kini lebih kepada kebebasan dan kerjaya.
Soalan 7: Bagaimanakah sokongan daripada keluarga atau komuniti mempengaruhi keputusan mempunyai anak?
Jawapan: Sokongan penting tetapi keputusan tetap individu.
Bahagian C:
Soalan : Pada pandangan anda apakah kesan penurunan kadar kelahiran yang berterusan dari aspek ekonomi, peluang pekerjaan dan negara?
Jawapan: Negara akan menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja.
Bahagian D:
Soalan: Pada pandangan anda, apakah cadangan yang akan diambil bagi mengelakkan masalah kependudukan ( penurunan kelahiran ) berlaku?
Jawapan: Peluang pekerjaan dan gaji yang lebih baik perlu disediakan.
Responden daripada pelancong antarabangsa ini berpandangan bahawa ketidaktentuan ekonomi dan peluang pekerjaan yang terhad menjadi faktor utama penangguhan perkahwinan dan pembentukan keluarga. Perubahan nilai masyarakat yang lebih menekankan kebebasan dan pembangunan kerjaya turut mempengaruhi kadar kelahiran. Responden menegaskan bahawa penyediaan peluang pekerjaan yang stabil dan pendapatan yang mencukupi merupakan langkah penting untuk menggalakkan pembentukan keluarga pada masa hadapan.
RESPONDEN 5
Bahagian A: Demografi
Umur: 52 Tahun
Tempat tinggal: Jepun
Status: Berkahwin
Pekerjaan: Pekerja sektor swasta
Bilangan tanggungan: 2 orang anak
Bahagian B: Isu dan Cabaran Kependudukan
Soalan 1: Pada pandangan anda, apakah faktor utama yang menyebabkan pasangan hari ini kurang mempunyai anak?
Jawapan: Kos sara hidup yang tinggi serta tekanan kerja yang semakin meningkat.
Soalan 2: Bagaimana pengalaman hidup dan keadaan semasa mempengaruhi perancangan keluarga anda?
Jawapan: Semasa muda, saya membesarkan anak dalam keadaan ekonomi yang mencabar. Pengalaman ini membuatkan saya faham mengapa generasi kini lebih berhati-hati dan menangguhkan perancangan keluarga.
Soalan 3: Bolehkah kongsikan cabaran utama yang dihadapi oleh pasangan yang ingin mempunyai anak pada masa kini?
Jawapan: Waktu kerja yang panjang dan kurang keseimbangan antara kerja dan kehidupan keluarga.
Soalan 4: Bagaimanakah faktor kewangan mempengaruhi keputusan berkaitan bilangan anak?
Jawapan: Faktor kewangan sangat penting kerana kos pendidikan, penjagaan kesihatan dan kehidupan harian semakin mahal.
Soalan 5: Bagaimanakah tuntutan kerja dan gaya hidup hari ini memberi kesan kepada kehidupan berkeluarga?
Jawapan: Tuntutan kerja yang tinggi menyebabkan kurang masa bersama keluarga dan mengurangkan keinginan untuk menambah bilangan anak.
Soalan 6: Pada pandangan anda, bagaimanakah perubahan nilai cara hidup masyarakat mempengaruhi kadar kelahiran?
Jawapan: Masyarakat kini lebih mementingkan kestabilan hidup, keselesaan dan kerjaya berbanding pembentukan keluarga besar.
Soalan 7: Bagaimanakah sokongan daripada keluarga atau komuniti mempengaruhi keputusan mempunyai anak?
Jawapan: Sokongan keluarga dan komuniti boleh membantu, tetapi faktor ekonomi dan masa masih menjadi penentu utama.
Bahagian C:
Soalan: Pada pandangan anda apakah kesan penurunan kadar kelahiran yang berterusan dari aspek ekonomi, peluang pekerjaan dan negara?
Jawapan: Negara akan menghadapi penuaan penduduk, kekurangan tenaga kerja dan pertumbuhan ekonomi yang perlahan.
Bahagian D:
Soalan: Pada pandangan anda, apakah cadangan yang akan diambil bagi mengelakkan masalah kependudukan (penurunan kelahiran) berlaku?
Jawapan: Kerajaan perlu menyediakan sokongan kewangan keluarga, waktu kerja lebih fleksibel dan kemudahan penjagaan anak yang mencukupi.
Responden warga Jepun berusia 50-an ini berpandangan bahawa penurunan kadar kelahiran banyak dipengaruhi oleh kos sara hidup yang tinggi, tuntutan kerja yang berat serta ketidakstabilan ekonomi yang dihadapi oleh generasi muda. Perubahan gaya hidup dan nilai masyarakat yang lebih mengutamakan kerjaya, keselesaan hidup dan kestabilan kewangan menyebabkan ramai pasangan menangguhkan perkahwinan dan perancangan keluarga. Responden menegaskan bahawa usaha kerajaan dalam menyediakan sokongan kewangan, peluang pekerjaan yang stabil, waktu kerja yang lebih fleksibel serta kemudahan penjagaan anak yang mencukupi amat penting bagi menggalakkan pasangan untuk membentuk keluarga dan meningkatkan kadar kelahiran pada masa hadapan.
APRESIASI
Setinggi-tinggi penghargaan kepada Dr. Kamarul selaku pensyarah kerana memberi kami peluang untuk bersama-sama dalam perjalanan kajian lapangan ke Kuala Lumpur.
Selain itu, apresiasi juga kepada saudara Muhamad Solehin bin Mahazan, ketua perjalanan kami atas komited dalam memastikan perjalanan yang lancar. Tidak lupa juga kepada barisan AJK yang bertungkus lumus dalam menjayakan perjalanan ini.
Sekalung penghargaan juga dititipkan kepada pihak Jabatan Perangkaan Malaysia Wilayah Persekutuan dan pihak pengurusan KL Tower kerana memberi ruang dan peluang kepada kami dalam menjayakan kajian lapangan ini.
Disediakan oleh :
Ahmad Tarmizi bin Rajalih (D20231106493)
Dessy Magdalene Beddy (D20231108063)
Lailatun Najwa binti Hurubalang (D20231108048)
Whitney Rifain (D20231108044)
Disediakan untuk :
Profesor Madya Dr. Kamarul bin Ismail
Pensyarah dan Koordinator
HGM3033
Geografi Penduduk
Comments
Post a Comment