Kajian Lapangan Kuala Lumpur 18 Disember 2025
MEMAHAMI DINAMIK PENDUDUK DI BANDARAYA KUALA LUMPUR
HGM 3033 GEOGRAFI PENDUDUK (A251)
KUMPULAN B
Disediakan oleh :
Perjalanan Lawatan Di Jabatan Perangkaan Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Rombongan pelajar tiba di pintu masuk Wisma FGV dan disambut oleh staf keselamatan bertugas. Staf tersebut mengiringi rombongan menggunakan lif ke pejabat Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang berada di tingkat 14 dan 15.
Di tingkat tersebut, Tuan Izwan (pegawai yang ditugaskan mengendalikan rombongan) mengiringi rombongan ke kaunter pendaftaran bagi mematuhi protokol keselamatan dan rekod rasmi jabatan. Seterusnya, rombongan dibawa ke dewan mesyuarat yang dilengkapi skrin monitor pada meja untuk setiap peserta, projektor di bahagian belakang, serta podium berucap di bahagian depan. Setiap pelawat menerima beg cenderahati mengandungi buku nota, fail dokumen, dan botol air, disertai air mineral, teh bunga, serta snek ringan yang diletakkan di atas meja mesyuarat.
Kata Aluan dan Penyampaian Penghargaan
Acara rasmi dimulakan dengan kata aluan daripada Puan Siti Zakiah binti Muhamad Isa, Pengarah DOSM Wilayah Persekutuan. Ucapan beliau merangkumi nasihat mengenai keyakinan diri dan persediaan untuk temuduga pekerjaan. Sesi penyampaian sijil penghargaan dan saguh hati diadakan pada peringkat awal majlis disebabkan faktor kekangan masa dan jadual yang padat dari pihak jabatan.
Taklimat Utama dan Aktiviti Interaktif
Taklimat utama disampaikan oleh Puan Siti Badariah Ismi binti Che Ibrahim, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perangkaan Penduduk dan Demografi dari Ibu Pejabat DOSM Putrajaya. Kandungan taklimat membincangkan perbandingan data penduduk Malaysia, termasuk kadar kelahiran, kematian, perkahwinan, penceraian, populasi banci, isu kesihatan awam, serta perbezaan warganegara dan bukan warganegara. Data disajikan melalui carta, graf, dan statistik terkini, dengan penjelasan mengenai peranan DOSM dalam dasar kerajaan.
Taklimat diikuti sesi kuiz interaktif dengan soalan ringkas berkaitan kandungan taklimat. Peserta yang menjawab betul menerima hadiah. Seterusnya, sesi penggambaran diadakan dengan Tuan Sulasmi sebagai jurufoto rasmi DOSM WPKL. Rombongan kemudian menjamu sarapan pagi di dewan makan dengan menu nasi lemak, kuih-muih, dan kopi panas. Dewan makan jabatan juga menawarkan pemandangan panorama pencakar langit Kuala Lumpur dan khususnya kawasan sekitar Chow Kit.
Jelajah Pejabat dan Teknologi Sokongan
Sesi terakhir melibatkan jelajah ke bahagian pejabat berkaitan statistik penduduk. Rombongan melawat kawasan pengumpulan, penyusunan, analisis, dan audit data mentah daripada pelbagai sumber. Seterusnya, ke bilik GIS (Geographic Information System), di mana pemetaan data penduduk diunjurkan ke atas peta sebenar dengan data terkini. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sahaja mempunyai lebih 7,000 fail pemetaan data yang dikemaskini mengikut perubahan demografi, pembangunan bandar, dan keadaan semasa. Teknologi ini menyokong perancangan bandar, keselamatan, dan pembangunan sosio-ekonomi.
Sebelum lawatan berakhir, gambar rasmi diambil di lobi utama bersama Puan Siti Zakiah. Rombongan diiringi oleh staf ke lobi utama. Lawatan ini menyumbang kepada pemahaman praktikal mengenai perangkaan penduduk dan operasi DOSM, yang selari dengan kurikulum Geografi Penduduk.
1.0 Latar Belakang
Jabatan Perangkaan Malaysia ditubuhkan pada 28 September 1949 di bawah peruntukan Ordinan Statistik 1949 dan dikenali sebagai Biro Statistik. Perangkaan yang dihasilkan pada masa itu terhad hanya kepada data perdagangan luar negeri dan pertanian ladang.
Pada tahun 1965, Biro Statistik telah bertukar nama kepada Jabatan Perangkaan Malaysia dan beroperasi di bawah peruntukan Akta Perangkaan 1965. Fungsi dan peranan Jabatan seterusnya telah berkembang di mana data/maklumat yang dikumpul semakin meluas merangkumi bidang ekonomi dan juga sosial.
Jabatan Perangkaan Malaysia merupakan agensi utama kerajaan yang diamanah dan dipertanggungjawab untuk memungut, mentafsir serta menyebar perangkaan yang bertepatan masa dan terkini untuk memantau prestasi ekonomi dan juga pembangunan sosial negara.
Jabatan Perangkaan Malaysia yang beribu pejabat di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya juga mempunyai pejabat di setiap negeri. Bagi memantapkan lagi kerja-kerja pengumpulan data oleh Jabatan Perangkaan Negeri, Pejabat-pejabat Operasi di beberapa buah negeri telah diwujudkan.
2.0 Peranan
Sebagai agensi utama dalam bidang perangkaan ke arah sistem maklumat yang bermutu, berorientasikan pengguna dan bertepatan masa, untuk pembentukan dasar perancangan pembangunan dan pentadbiran negara.
3.0 Fungsi
Di bawah "Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989)", fungsi utama Jabatan Perangkaan Malaysia ialah :
mengumpul dan mentafsirkan perangkaan bagi tujuan pembentukan atau pelaksanaan dasar-dasar kerajaan dalam apa juga bidang yang diperlukan oleh kerajaan atau bagi memenuhi keperluan-keperluan perdagangan, perniagaan, perindustrian, pertanian atau lain-lain.
menyebar perangkaan yang telah dikumpul atau tafsiran yang dibuat atas perangkaan yang dikumpul itu, bukan sahaja kepada agensi-agensi kerajaan, tetapi juga kepada pihak-pihak berkuasa atau orang-orang yang mana maklumat itu berguna untuk mereka.
Lawatan ke Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan dapatan penting mengenai struktur penduduk, sumber data dan proses penyusunan perangkaan vital, yang menjadi asas kepada perancangan dasar sosioekonomi negara.
4.1 Struktur Umur Mengikut Negeri
Struktur umur penduduk menjadi indikator utama tahap pembangunan sosioekonomi, membolehkan perancangan kemudahan pendidikan, kesihatan dan perlindungan sosial yang berfokus. Majoriti penduduk di semua negeri berada dalam kumpulan umur 15–64 tahun, menandakan faedah dividen demografi dengan dominasi usia bekerja. W.P. Putrajaya mencatat peratus tertinggi penduduk 0–14 tahun hampir sepertiga, memerlukan pelaburan pendidikan asas, manakala Pulau Pinang dan W.P. Kuala Lumpur menunjukkan populasi menua dengan peratus warga emas lebih tinggi.
Perbezaan ini dikaitkan dengan urbanisasi, peluang pekerjaan dan migrasi dalaman yang menarik usia bekerja ke bandar. Negeri berpenduduk muda perlu utamakan perumahan mampu milik dan persekitaran mesra keluarga, sementara kawasan menua memerlukan sistem kesihatan dan keselamatan sosial yang diperluas.
4.2 Sumber Data Penduduk Utama
Data penduduk Malaysia bergantung kepada rekod pentadbiran dan survei daripada DOSM, JPN dan Kementerian Kesihatan, melibatkan fertiliti, mortaliti serta migrasi sebagai proses demografi utama. Banci penduduk dan anggaran semasa bertindak sebagai stok permulaan untuk analisis struktur umur, jantina dan taburan geografi. Rekod kelahiran, kematian serta perkahwinan membolehkan pengiraan kadar kasar, menyokong indikator kesihatan dan corak keluarga.
Migrasi dalaman diukur melalui survei DOSM, menjelaskan perubahan wilayah akibat faktor tarikan seperti pekerjaan dan infrastruktur. Migrasi antarabangsa pula melibatkan Imigresen dan JPN, menilai impak pekerja asing serta pelarian terhadap struktur penduduk.
4.3 Komponen Perubahan Penduduk
Perubahan penduduk ditentukan oleh kelahiran, kematian dan migrasi, mengikut formula komponen kohort:
Formula Perubahan Penduduk
Perubahan jumlah penduduk boleh ditentukan menggunakan formula berikut:
Pā = Pā₋₁ + Bā − Dā + Mā
Di mana:
Pā = Jumlah penduduk pada masa t
Pā₋₁ = Jumlah penduduk pada masa sebelumnya
Bā = Bilangan kelahiran pada masa t
Dā = Bilangan kematian pada masa t
Mā = Migrasi antarabangsa bersih pada masa t
Kelahiran dipengaruhi kesuburan, pendidikan dan perancangan keluarga; kematian berkurang dengan kemudahan kesihatan tetapi meningkat akibat wabak. Migrasi bersih positif dari masuk pekerja asing meningkatkan populasi, manakala migrasi keluar mengurangkannya.
4.4 Kaedah Pengukuran Penduduk
Penduduk ditakrifkan sebagai individu mendiami kawasan tertentu, diukur melalui banci setiap 10 tahun, anggaran semasa (2011–2025) dan unjuran 30 tahun (2020–2060). Banci merangkumi umur, pekerjaan dan ciri perumahan; anggaran bergantung JPN untuk kelahiran-kematian; unjuran menggunakan kohort untuk merancang pendidikan dan tenaga kerja.

Rajah 4 menerangkan konsep dan definisi penduduk
4.5 Anggaran Penduduk 2025
DOSM menganggarkan penduduk 2025 sebanyak 34.2 juta, dengan warganegara 90.1% (Bumiputera 70.5%, Cina 22.2%, India 6.5%) dan bukan warganegara 9.9%. Lelaki 52.6% (nisbah 110:100), lebih tinggi bagi asing (228:100). Struktur umur: muda 21.6%, bekerja 70.4%, tua 8.0%; purata umur 31.3 tahun, menuju penuaan.
4.6 Penyusunan Perangkaan Vital
DOSM menyusun Vital Statistics melalui kerjasama JPN, PDRM, KKM dan agensi agama, merangkumi kelahiran, kematian, perkahwinan dan pengambilan anak. JPN pusat pendaftaran wajib berasaskan kerahsiaan; DOSM memproses, mengkod dan mengawal kualiti data, disokong rekod forensik dan survei untuk ketepatan antarabangsa.
5.0 Rumusan
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merupakan agensi utama kerajaan yang bertanggungjawab mengumpul, mentafsir dan menyebarkan perangkaan negara bagi menyokong perancangan pembangunan dan dasar awam. Melalui kerjasama pelbagai agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Kementerian Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia, DOSM menyusun Perangkaan Vital yang merangkumi kelahiran, kematian, perkahwinan dan perubahan penduduk secara sistematik dan berterusan. Data yang dikumpulkan diproses dan dikawal kualitinya bagi memastikan ketepatan serta kebolehpercayaan, sekali gus menjadi asas penting dalam analisis demografi dan pembangunan sosioekonomi negara.
Perjalanan Lawatan Di Menara Kuala Lumpur
Selepas menamatkan sesi lawatan di Jabatan Perangkaan Malaysia, rombongan meneruskan perjalanan ke Menara Kuala Lumpur yang terletak di Bukit Nanas. Rombongan tiba pada pukul 1 petang. Pengarah lawatan menyampaikan taklimat ringkas mengenai etika dan prosedur keselamatan di kawasan pelancongan, bagi memastikan pematuhan semua ahli rombongan.
Rajah 1 : Ketibaan rombongan di kawasan parkir bas Menara KL
Di lobi Menara Kuala Lumpur, rombongan disambut oleh Puan Lily Marsila, staf pemasaran yang bertanggungjawab mengendalikan lawatan akademik. Beliau mengiringi rombongan ke lorong lif menara sambil mengagihkan tiket akses melepasi pagar pelawat. Setiap lif menara mempunyai had muatan sebanyak 15 orang dewasa atau 1,500 kg sekali gus. Oleh itu, rombongan menaiki lif secara berperingkat memandangkan kekangan ruang dan kehadiran pelancong lain.
Rombongan tiba di Sky Deck pada ketinggian 300 meter, yang menawarkan pemandangan panorama Bandaraya Kuala Lumpur dalam radius kira-kira 20-30km dari semua arah . Pemandangan ini merangkumi struktur pencakar langit, perluasan bandar, dan corak trafik. Fasiliti Sky Box – ruang kaca tergantung – disediakan untuk penggambaran dengan latar belakang skyline bandar. Majoriti pengunjung di tingkat ini terdiri daripada pelancong asing, yang membolehkan interaksi antarabangsa secara langsung.
Rombongan kemudian melawat Observation Deck, tingkat paling rendah dalam struktur menara. Fasiliti di sini termasuk kedai cenderahati, gerai makanan ringan, dan teropong pemerhati yang membolehkan pengamatan terperinci sehingga ke paras jalan raya. Aktiviti utama di tingkat ini ialah pelaksanaan kajian lapangan melalui temu ramah dengan pelancong. Soalan yang diajukan merangkumi perbandingan populasi Kuala Lumpur dengan negara asal responden, serta kadar kelahiran dan kematian. Maklum balas yang diperoleh selari dengan konsep teori dalam kursus Geografi Penduduk, seterusnya mengesahkan kesesuaian data demografi dengan realiti empirikal.
Sebelum meninggalkan tapak, rombongan mengadakan sesi penggambaran rasmi di lobi utama. Lawatan ini diakhiri dengan perjalanan pulang ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Secara keseluruhan, lawatan tersebut menyumbang kepada pemahaman praktikal mengenai dinamik penduduk bandar di Kuala Lumpur.
Soalan-soalan terhadap responden di Menara Kuala Lumpur berkaitan kajian penduduk:
I)Apakah faktor utama yang menyebabkan Singapura mencapai status negara tua dan bagaimanakah negara tersebut mengatasi kekurangan tenaga kerja yang berlaku?
II)Mengapakah kemajuan dalam sistem kesihatan dianggap sebagai mempunyai kebaikan/keburukan dalam konteks struktur penduduk sesebuah negara, dan apakah langkah strategik yang perlu diambil oleh Malaysia untuk mengelakkan krisis yang sama?
III)Perbandingan keadaan pasaran buruh pada tahun 2000 dengan tahun 2025, dan apakah sektor utama yang kini semakin dikuasai oleh tenaga kerja asing.
IV) Walaupun kehadiran tenaga buruh asing membantu kelangsungan ekonomi, mengapakah trend ini menimbulkan kebimbangan terhadap kedudukan tenaga kerja tempatan dalam jangka masa panjang?
V) Apakah faktor utama yang mendorong penduduk luar bandar berpindah ke kawasan bandar seperti Kuala Lumpur.
VI) Bagaimana proses urbanisasi yang pesat boleh mengakibatkan "impak dua hala" yang merugikan pembangunan di kawasan luar bandar.
VII) Apakah faktor yang mendorong dominasi kumpulan umur bekerja di Kuala Lumpur dan huraikan bagaimana situasi ini memberikan impak yang berbeza terhadap persekitaran bandar tersebut.
VIII) Mengapakah kerajaan atau pihak berkuasa perlu mula merancang perkhidmatan kesihatan dan sokongan sosial yang lebih efisien dari sekarang, walaupun Kuala Lumpur kini sedang menikmati produktiviti ekonomi yang tinggi?
IX) Apakah faktor yang menjadikan Kuala Lumpur sebagai destinasi tumpuan penduduk dan jelaskan bagaimana faktor tersebut menyumbang kepada kepelbagaian sektor kreatif dan perkhidmatan di bandar itu.
X) Mengapakah perancangan bandar yang "sistematik dan inklusif" dianggap sebagai kunci utama dalam menangani cabaran ini?
Hasil analisis transkrip temubual bersama responden:
RESPONDEN 1
Etnik Melayu ,umur lingkungan 50-60 tahun, dari Singapura
Kajian kes : status negara singapura & langkah kerajaan menangani isu tersebut
Hasil temu bual mendapati bahawa Singapura telah mencapai status negara tua, iaitu struktur penduduknya didominasi oleh warga emas. Keadaan ini berpunca daripada kemajuan sistem kesihatan yang berjaya meningkatkan jangka hayat penduduk serta mengurangkan kadar kematian. Namun demikian, fenomena ini telah menyebabkan ketidakseimbangan jurang umur penduduk dan kekurangan tenaga kerja muda, sekali gus memaksa Singapura bergantung kepada tenaga buruh asing bagi memenuhi keperluan pasaran buruh. Berdasarkan dapatan tersebut, jelas bahawa kemajuan kesihatan tanpa keseimbangan kadar kelahiran boleh membawa kepada masalah penuaan penduduk dan kekurangan tenaga buruh muda. Situasi ini memberi implikasi penting kepada Malaysia, di mana negara berpotensi menghadapi cabaran demografi yang sama sekiranya tiada langkah strategik dan menyeluruh diambil lebih awal untuk mengekalkan keseimbangan struktur penduduk dan kelestarian tenaga kerja tempatan.
RESPONDEN 2
Etnik Cina, umur lingkungan 40-50 tahun, dari Subang Jaya
Kajian kes : Perbezaan jumlah penduduk pada tahun 2000 dan 2025 di ibu kota
Berdasarkan temu bual kedua, dapatan menunjukkan berlakunya perubahan ketara dalam komposisi tenaga buruh antara tahun 2000 hingga 2025. Pada tahun 2000, pasaran buruh didominasi oleh warga tempatan dan berada dalam keadaan seimbang antara permintaan pekerjaan dan kecukupan tenaga kerja tempatan, manakala kehadiran warga asing masih minimum. Namun, menjelang tahun 2025, sektor pekerjaan berat seperti pembinaan, perladangan dan pertanian serta bidang hospitaliti semakin dikuasai oleh tenaga kerja asing akibat kekurangan tenaga mahir dan minat dalam kalangan warga tempatan. Analisis mendapati bahawa walaupun kebergantungan kepada tenaga buruh asing memberi kesan positif kepada kelangsungan ekonomi dan kelancaran operasi sektor tertentu, situasi ini menimbulkan kebimbangan terhadap peluang pekerjaan dan daya saing tenaga kerja tempatan dalam jangka panjang.
RESPONDEN 3
Etnik Melayu, umur lingkungan 20-30 tahun ,dari KL
Kajian kes : Taburan Penduduk Mengikut Kawasan (Bandar vs Luar Bandar)
Berdasarkan temu bual tersebut, dapatan menunjukkan bahawa migrasi dalaman dari luar bandar ke bandar didorong oleh tarikan peluang ekonomi, kemudahan infrastruktur, akses pendidikan serta perkhidmatan asas yang lebih lengkap di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur. Analisis menunjukkan bahawa proses urbanisasi ini menyumbang kepada peningkatan kepadatan penduduk dan pembangunan pesat di bandar, namun pada masa yang sama mewujudkan ketidakseimbangan taburan penduduk apabila kawasan luar bandar mengalami kekurangan tenaga kerja muda dan peningkatan kebergantungan kepada warga emas, sekali gus memperlihatkan impak dua hala migrasi dalaman terhadap pembangunan wilayah di Malaysia.
RESPONDEN 4
Etnik India, umur lingkungan 30-40 tahun ,dari Melaka
Kajian kes : Struktur Umur Penduduk dan Implikasinya di Kuala Lumpur
Berdasarkan temu bual, dapatan menunjukkan bahawa Kuala Lumpur didominasi oleh penduduk dalam kumpulan umur bekerja akibat tarikan peluang pekerjaan, sektor ekonomi yang pelbagai serta kewujudan institusi pendidikan dan latihan. Analisis ringkas mendapati bahawa dominasi ini memberi kesan positif terhadap pertumbuhan ekonomi bandar melalui peningkatan produktiviti dan daya saing, namun pada masa yang sama meningkatkan persaingan pekerjaan, tekanan kos sara hidup dan cabaran perumahan. Selain itu, struktur umur ini turut memberi implikasi jangka panjang apabila peningkatan bilangan warga emas berpotensi mewujudkan keperluan baharu terhadap perkhidmatan kesihatan dan sokongan sosial, sekali gus menuntut perancangan pembangunan bandar yang lebih mampan dan seimbang.
RESPONDEN 5
Etnik Melayu, umur lingkungan 20-30 tahun ,dari Indonesia
Dapatan Kajian: Migrasi dan Kepelbagaian Penduduk Bandar di Kuala Lumpur
Berdasarkan temu bual, dapatan menunjukkan bahawa kehadiran penduduk ke Kuala Lumpur didorong terutamanya oleh peluang pekerjaan, aktiviti ekonomi, pendidikan, perniagaan dan pelancongan, selari dengan peranan bandar ini sebagai pusat ekonomi dan globalisasi. Analisis menunjukkan bahawa migrasi dalaman dan antarabangsa telah mewujudkan kepelbagaian budaya, sosial dan ekonomi yang menyumbang kepada pertumbuhan sektor perkhidmatan, pelancongan dan kreativiti bandar, namun pada masa yang sama menimbulkan cabaran seperti tekanan terhadap kemudahan awam, persaingan pekerjaan dan isu integrasi sosial, sekali gus menuntut perancangan bandar yang lebih sistematik dan inklusif bagi memastikan pembangunan yang teratur dan harmoni.
Sekian, Terima Kasih.


.jpeg)

.jpeg)








Comments
Post a Comment